Thursday, December 25, 2008

Kempen Penurunan Harga

Kempen Penurunan Harga di C-Mart 30 Dis.

ALOR STAR Kempen Penurunan Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan diadakan di pasar raya C-Mart, Jitra dekat sini pada 30 Disember ini. Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Kedah, Datuk Yusoff Ismail berkata, kempen berkenaan dijangka dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom pada pukul 2.30 petang. "Pasar raya C-Mart Jitra dipilih sebagai lokasi pelancaran kempen ini kerana ia antara premis yang menawarkan harga barangan lebih murah dan berpatutan kepada orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Dalam pada itu, Yusoff menyeru peniaga di negeri ini supaya menurunkan harga barangan mengikut keadaan semasa, lebih-lebih lagi harga bahan api telah diturunkan beberapa kali oleh kerajaan.
Katanya, kerjasama peniaga amat ditagih agar pengguna tidak terus dibebani dengan harga barangan keperluan yang mahal setiap kali ingin berbelanja. Dalam hal ini, beliau turut meminta pengguna memainkan peranan berkesan dalam usaha mendesak para peniaga menurunkan harga jualan mereka dengan hanya berbelanja di premis yang menawarkan harga berpatutan.
"Jika pengguna hanya membeli di premis yang menawarkan harga berpatutan, ia secara langsung akan memberi kesan kepada peniaga yang masih menjual barangan pada harga yang mahal. "Ini sekali gus dapat mendesak mereka mengikuti langkah peniaga yang menjual barang pada harga lebih munasabah," katanya.

Utusan Malaysia, 26 Disember 2008

No comments:

Post a Comment