Tuesday, January 20, 2009

Harga gula naik bulan depan?

BUKIT MERTAJAM 20 Jan. – Pengumuman kenaikan harga gula awal bulan depan dijangka tidak membebankan pengguna kerana ia dilakukan secara berperingkat.
“Kita belum putuskan sama ada kekal atau naikkan harga. Sama ada naik harga dengan peratus yang kecil atau besar, ia akan dilakukan berperingkat-peringkat,’’ kata Datuk Shahrir Abdul Samad.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, harga pasaran gula pada masa ini ialah RM1.45 sekilogram.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan menaikkan harga selaras dengan pembaharuan kontrak pengimportan gula yang menyaksikan negara pembekal menaikkan harganya.
Menurut beliau, keputusan mengenai perkara tersebut akan dimuktamadkan selewat-lewatnya selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.
“Kita import gula secara kontrak setiap tiga tahun. Harga gula bagi kontrak baru adalah lebih tinggi berbanding kontrak yang lama, jadi kita sedang kaji mengekalkan harga lama atau menaikkan sedikit.
“Kementerian akan mengumumkannya dalam masa terdekat, mungkin selepas perayaan Tahun Baru Cina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan dan Bahaya Gula di pasar raya besar Carrefour di sini hari ini.
Kempen anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim dan Presiden CAP, SM. Mohamed Idris.
Shahrir berkata, kerajaan terpaksa mengimport gula secara kontrak jangka panjang bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi terutama pada musim-musim perayaan.

Harga minyak kekal – Shahrir

ALOR STAR 20 Jan. – Harga runcit petrol dan diesel tidak akan diturunkan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Menurutnya, ini memandangkan harga purata minyak mentah bagi tempoh dua minggu pertama bulan ini masih di atas AS$43 setong kecuali beberapa hari di bawah paras AS$40 setong.
Tambahnya, kerajaan masih kekal dengan mekanisme penetapan harga minyak di Malaysia iaitu mengambil kira purata harga minyak mentah dunia setiap dua minggu.
“Dari 1 hingga 15 Januari lalu, harga minyak mentah di atas AS$42 setong dan cuma ada beberapa hari ia turun di bawah AS$40,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Besar Alor Star di sini hari ini.
Shahrir mengingatkan, penurunan harga minyak dunia turut memberi kesan kepada pendapatan Petronas yang menyebabkan kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada syarikat itu semata-mata.
“Kita harus terima apabila harga minyak mentah turun, pendapatan Petronas juga jatuh dan kerajaan kena ambil cukai untuk menggantikan pendapatan Petronas.
“Ketika harga minyak tinggi, untung banyak dan kita boleh guna pendapatan Petronas untuk beri subsidi,” katanya.
Sementara itu, Shahrir menjelaskan, kerajaan berpendapat tiada keperluan melaksanakan sistem dua pam di semua stesen minyak di kawasan sempadan pada masa ini bagi membezakan penjualan bahan api itu kepada kenderaan tempatan dan asing.
Beliau berkata, ini kerana tiada perbezaan ketara harga minyak di negara ini dengan harga di Thailand ketika ini.
Katanya, keadaan itu sekali gus membantu mengurangkan masalah penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran.
“Apabila harga runcit lebih kurang sama dan tiada elemen subsidi yang membezakan harga minyak, masalah pembelian berlebihan oleh kenderaan asing tidak timbul,” katanya.
Pada Jun 2008, kerajaan mengumumkan pelaksanaan cadangan sistem dua pam itu bertujuan memastikan minyak bersubsidi hanya dijual kepada rakyat tempatan manakala rakyat asing perlu membeli pada harga sebenar di pasaran.
Menurut Shahrir, masalah penyeludupan petrol dan diesel pada masa ini berkurangan dengan ketara selepas penurunan harga minyak mentah dunia.

Wednesday, January 14, 2009

Harga maksimum barang kawalan kuat kuasa Isnin

PUTRAJAYA 14 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga maksimum bagi 11 jenis barangan kawalan untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2009 bermula 19 Januari hingga 2 Februari ini.
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penetapan harga maksimum borong dan runcit itu membabitkan 138 kawasan di seluruh negara.
Beliau berkata, senarai barangan terkawal yang terlibat ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import dari Indonesia dan China (tidak termasuk Beijing), ikan bawal putih dan udang putih besar.
''Peniaga-peniaga yang berurus niaga dengan barang-barang harga terkawal diingatkan supaya mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan.
''Sungguhpun demikian, peniaga diminta menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.
Shahrir yang memberi jaminan bekalan barangan bagi Tahun Baru Cina mencukupi berkata, sebanyak 2,980 harga maksimum meliputi 1,490 harga maksimum borong dan 1,490 harga maksimum runcit ditetapkan dalam skim kawalan harga sepanjang musim perayaan itu.
Beliau menjelaskan, penetapan harga maksimum itu berasaskan kepada pemantauan harga yang dibuat sejak April hingga bulan ini membabitkan harga bulanan, mingguan dan harian.
Jelasnya, harga berkenaan ditetapkan berdasarkan kadar harga di pasar-pasar basah manakala harga barangan di pasar raya besar adalah lebih rendah.
Beliau berkata, kementerian juga mengambil kira pandangan agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain perbincangan dengan pengimport, pengeluar, pembekal dan pemborong.
"Peniaga barang-barang yang terlibat dikehendaki memiliki lesen yang boleh dipohon secara percuma di semua pejabat kementerian di seluruh negara," katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata, sebanyak 41,305 lesen menjual barangan terkawal yang dikeluarkan pada musim perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina tahun lalu masih sah digunakan untuk tahun ini.
"Peniaga perlu mematuhi syarat-syarat lesen antaranya menggunakan plat tanda harga warna merah jambu, mempamerkan lesen dan tidak menjual barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Sunday, January 11, 2009

BERITA HARIAN: Angin kencang di perairan Sabah, Sarawak

Angin kencang di perairan Sabah, Sarawak
AHAD, 11 Januari 2009

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora dengan ombak setinggi melebihi lima meter diramalkan di perairan Sabah dan Sarawak hingga Rabu ini, kata Jabatan Meteorologi.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang kategori ketiga di kawasan perairan di Condore, Pahlawan, Reef North dan Pulau Layang-Layang, Bunguran, Mukah, Bintulu, Miri, Labuan, Sabah Barat dan Kudat.

“Angin Timur Laut dengan kelajuan 60 kmsj dengan ombak ketinggian 5.5 meter dikesan di perairan tersebut sehingga Rabu ini,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Jabatan itu juga berkata, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak 4.5 meter juga dikesan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Kuching sehingga Rabu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada aktiviti perkapalan, pekerja di pelantar minyak, perkhidmatan feri, serta aktiviti pantai dan menangkap ikan," katanya.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah di Sarawak berikutan hujan sederhana dan kadang kala lebat dijangka turun dari semasa ke semasa sehingga Rabu ini.

Kawasan yang terlibat ialah Kuching, Sri Aman, Samarahan dan Betong, dan keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing sungai. - Bernama

Thursday, January 1, 2009

Jangan salahkan kerajaan harga barang tak turun

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meminta rakyat tidak menyalahkan kerajaan semata-mata berikutan keengganan peniaga menurunkan harga barangan di pasaran.

Kerajaan, katanya, telah mengambil langkah menurunkan harga petrol yang merupakan kos utama dalam industri pengangkutan dan peniaga perlu melakukan perkara yang sama dengan menurunkan harga barangan.

''Kerajaan hanya boleh mengurangkan harga minyak yang menjadi perkara asas kepada kenaikan dan penurunan harga barang.

''Jika kos pengangkutan sudah berkurangan maka sudah sampai masanya para peniaga mengambil langkah untuk menurunkan harga barangan," katanya selepas melakukan lawatan di Pasar Besar Kedai Payang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu ekonomi semasa yang digunakan oleh parti pembangkang untuk berkempen menentang BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 17 Januari ini.

Wan Ahmad Farid percaya lambat-laun para peniaga akan menurunkan harga barangan ekoran penurunan kos pengangkutan akibat tekanan pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan beban ibu bapa ketika permulaan sesi persekolahan ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

''Antara usaha dilaksanakan oleh kerajaan negeri ialah memberi bantuan pakaian sekolah kepada ibu bapa pelajar sekolah rendah dan menengah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid meminta parti pembangkang tidak lagi menimbulkan isu 'pengundi hantu' selepas senarai daftar pengundi Parlimen Kuala Terengganu disahkan bersih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

''Sebenarnya, senarai daftar pengundi tidak pernah berubah sejak Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan Pas berjaya mengambil alih pentadbiran Terengganu.

''Jika mereka masih mendakwa terdapat pengundi hantu bermakna pengundi hantu jugalah yang memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum 1999," katanya.