Monday, December 29, 2008

Antara Kempen Dan Kuasa Membeli Pengguna

Antara Kempen Dan Kuasa Membeli Pengguna
December 15, 2008 15:22 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Adakah terlalu awal untuk menilai Kempen Penurunan Harga atau terlalu pantas melabelkannya sebagai gagal?.

Ini isu yang diperkata mengenai kempen yang masuk bulan kedua dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kempen seluruh negara yang bermula penghujung Oktober lalu setakat ini berjaya menarik penyertaan serta komitmen beberapa pasar raya besar (hipermarket), pasar raya, pasar mini serta restoran.

"Apabila melihat penurunan harga bahan bakar tidak menghasilkan penurunan harga barang terutama barangan keperluan harian secepat yang diharapkan, KPDNHEP mengambil inisiatif mengadakan kempen penurunan harga barang ini.

"Penyertaan dalam kempen ini adalah secara sukarela dan setakat ini, pihak yang menyertai kempen ini memberikan kerjasama yang baik untuk menurunkan harga barangan yang menjadi kepentingan rakyat," menurut Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan KPDNHEP dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Di samping kempen yang sedang berlangsung, kementerian ini juga, katanya akan meneruskan perbincangan dengan pelbagai kumpulan yang terbabit supaya ada penyelarasan antara penurunan harga minyak dengan penurunan harga barang.

"Pihak kementerian termasuk YB Menteri secara berterusan mengadakan rundingan dengan pemborong, peruncit, pengilang dan sekarang kami akan berjumpa dengan syarikat pengangkutan," kata Mohamed Elias.

ANTARA YANG MENGAMBIL BAHAGIAN

Bermula 24 Okt dengan Syarikat NZ Best Sdn Bhd yang secara sukarela menurunkan harga susu NURAL NUGROW yang diimport sepenuhnya dari New Zealand, beberapa hipermarket kemudiannya berjaya ditarik untuk menyertai kempen penurunan harga KPDNHEP. Dalam kalangan hipermarket, Pasar raya Giant ialah yang pertama menyahut seruan kempen kementerian ini.

Kempen Penurunan Harga yang dikenali sebagai "Price Slash Campaign" dijalankan di semua pasar raya Giant di seluruh negara selama enam bulan bermula 28 Okt hingga 30 April 2009. Ia membabitkan 1,200 jenis barang termasuk produk makanan dan bukan makanan.

Tesco menyertai kempen ini pada 31 Okt hingga 31 Jan 2009, meliputi 58 jenis produk termasuk produk makanan dan bukan makanan. Sebanyak 26 pasar raya besar Tesco dan Tesco Extra di seluruh Semenanjung Malaysia terbabit dalam program ini.

Kempen penurunan harga Pasar raya Besar Carrefour pula bermula pada 12 Nov hingga Mei 2009 dan meliputi 1,000 jenis barang.

Pasar raya Mydin mengorak langkah menyertai kempen ini pada 6 Nov dan tempoh kempen adalah untuk enam bulan. Jumlah produk yang terbabit dalam kempen ini ialah sebanyak 468 jenis dan pengguna boleh membuat semakan harga di laman web http://www.mydin.com.my

The Store turut menyertai kempen ini pada tarikh yang sama dan sepanjang kempen itu, 56 buah pasar rayanya di seluruh negara akan menawarkan penurunan harga untuk 311 jenis barang.

AEON (pasar raya Jusco) memulakan penyertaan kempen secara rasmi pada 11 Nov lepas, meliputi 960 jenis barang. Tempoh kempen ialah sebulan dan Pasar raya Jusco akan merancang kempen seterusnya bagi 2009. Pasar Mini Moden 99 Speed Mart yang turut beroperasi di pinggir bandar menyertai Kempen Penurunan Harga pada 20 Nov.

MANFAAT UNTUK PENDUDUK PINGGIR BANDAR

"Penyertaan 99 Speed Mart ini dengan lebih 100 cawangan akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah memandangkan lokasi cawangannya yang turut terletak di pinggir bandar.

"Sebelum ini kami ada dengar keluhan penduduk yang tidak mempunyai kemudahan hipermarket yang merungut kempen ini hanya menguntungkan penduduk bandar.

"Secara kebetulan pegawai kami yang membuat pemantauan harga menemui outlet ini dan selepas berbincang, pemiliknya bersetuju untuk menyertai kempen kami," jelasnya.

Terkini, pada 7 Dis lepas, pelancaran Kempen Penurunan Harga diadakan di Pasaraya Felda D'Mart di Felda Air Tawar 02, Kota Tinggi, Johor.

Penyertaan Pasaraya Felda D'Mart juga akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutama mereka yang tinggal di kawasan Felda. Kempen ini akan diadakan sehingga 28 Feb 2009 di semua 245 rangakaian D'Mart di seluruh negara.

Mohamed Elias berkata pihaknya mengarahkan pegawai-pegawai kementerian di peringkat negeri untuk mengenal pasti pasar raya atau pasar mini lain milik rakyat tempatan, walaupun ia hanya mempunyai satu atau beberapa cawangan untuk menyertai kempen itu.

Beliau berkata tiga buah pasar raya tempatan seumpama itu di Pulau Pinang dan Pahang telah memberi komitmen secara lisan sementara beberapa buah lagi dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Kempen yang dijalankan oleh KPDNHEP juga berjaya menarik komitmen Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Setakat rencana ini ditulis, seramai 200 anggota kedua-dua persatuan bersetuju menurunkan harga makanan di restoran masing-masing, bermula di Lembah Klang dan dijangka diikuti cawangan masing-masing di seluruh negara, secara berperingkat.

"Penurunan harga ini dibuat secara sukarela dan pihak kami tidak mempunyai kuasa untuk memaksa mereka menurunkan harga. Kita boleh kawal, misalnya harga tepung tetapi apabila tepung itu diproses, sebagai contoh menjadi mi, kita tak boleh kawal harga.

"Begitu juga apabila mi itu dimasak. Masakan yang dikatakan istimewa yang membabitkan kepakaran manusia, kita juga tidak boleh kawal harga atau menetapkan harga. Anda mungkin dikenakan bayaran RM5 untuk sepinggan mi jika makan di satu restoran tetapi harga di hotel mungkin mencecah RM20 sepinggan.

"Begitu juga halnya dengan harga roti canai tetapi kami bincang juga dengan peniaga kerana roti canai adalah makanan rakyat. Kami minta mereka jangan naikkan harga dan mereka setuju," jelasnya.

PERLU FAHAM

Barang yang ditawarkan di bawah kempen kementerian ini merangkumi "barang kepentingan rakyat", buatan dalam dan luar negara serta juga yang berjenama.

"Barangan tersebut meliputi apa yang menjadi rungutan rakyat, sama ada barangan segar atau tidak. Sebab itulah fokus kempen kami ialah makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging ayam serta yang dipek.

"Tetapi pengguna juga perlu faham bahawa untuk barangan segar, terdapat faktor lain seperti cuaca yang akan memberi kesan kepada harga dan bekalan di sebalik kempen penurunan harga," jelas Mohamed Elias.

Menurut beliau, secara menyeluruh, pihak yang menyertai kempen menawarkan harga rendah untuk tempoh tertentu tetapi harga untuk barang segar mungkin tidak dapat dikekalkan sepanjang tempoh kempen.

"Mungkin untuk tempoh dua minggu, harga sayur murah dan dua minggu lagi harga ikan pula lebih murah. Tetapi bila musim tengkujuh, harga ikan mungkin lebih tinggi. Oleh itu, pengguna perlu ambil maklum akan perubahan cuaca," katanya.

SELALU PANTAU

Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang kempen penurunan harga hanya gimik semata-mata, Mohamed Elias berkata sepanjang kempen yang berlangsung tiga hingga enam bulan ini, pegawai-pegawai kementerian sentiasa membuat pemeriksaan harga disetiap premis yang menyertai kempen berkenaan.

Menurut beliau, Majlis Harga Barangan Negara turut melantik 1,760 pegawai pemantau harga secara kontrak yang membuat pemantauan di 96 pusat pungutan di seluruh negara.

Lokasi yang dipantau meliputi pasar basah, pasar kering, pasar raya dan kedai runcit di bandar utama dan daerah termasuk kawasan pedalaman.

Pemantauan merangkumi 350 jenis barang termasuk barang basah, barang kering dan barang siap masak yang terdiri daripada ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, susu tepung, minyak masak sawit, beras makanan bayi dan tepung gandum.

Maklumat yang dikumpul akan disalur kepada agensi penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya di samping digunakan pihak kementerian bagi mengkaji kedudukan serta menyediakan pelan penyaluran atau pengedaran barangan perlu.

Laporan itu juga, katanya, diberikan kepada Majlis Ekonomi Negara setiap minggu sebagai sumber rujukan bagi merangka strategi dan tindakan mengurangkan inflasi.

BUAT PERBANDINGAN

Dalam masa yang sama, maklumat yang dikumpul turut dimasukkan ke dalam laman web KPDNHEP untuk rujukan pengguna. (sila layari http://www.kpdnhep.gov.my).

Mohamed Elias berkata pengguna perlu mengambil sedikit masa untuk merancang pembelian, antaranya membuat senarai barang yang hendak dibeli dan perbandingan harga dengan menyemak harga yang ditawarkan oleh pasar raya yang menyertai kempen penurunan harga kementerian.

"Cuba cari pasar raya yang menawarkan harga paling murah. Jangan setakat pergi ke pasar raya dan tolak troli. Kalau pasar raya ada keluarkan brosur harga barangan, gunakan brosur itu dan semak harga terlebih dahulu.

"Perlu ada perubahan sikap dalam kalangan pengguna negara ini. Pihak kami membantu mereka dengan menyediakan maklumat harga barangan. Begitu juga di hipermarket yang menyertai kempen ini, ada disediakan harga perbandingan sebelum dan selepas menyertai kempen," kata Mohamed Elias.

KOMEN FOMCA

Mengulas kempen penurunan harga KPDNHEP, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat, pengeluar dan pembekal barang mentah, perlu juga mengambil langkah yang sama.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata bagi membantu pihak berkenaan berbuat demikian, kerajaan perlu memberikan insentif seperti penurunan cukai import dan sebagainya.

"Apabila pengeluar menurunkan harga barang mereka, ia sekaligus akan menurunkan harga di semua peringkat pengedaran sehingga sampai kepada pengguna. Bagi sektor tertentu seperti sayur-sayuran, ikan dan seumpamanya, perlu dikurangkan peranan orang tengah.

"Kerajaan juga perlu menghapuskan kegiatan monopoli bagi pengeluaran, pengimportan dan pemborongan barang kerana mereka yang terlibat mengawal harga atau mewujudkan kartel sesama mereka. Bagi pengimportan barang makanan, permit AP perlu dihapuskan," katanya.

LAGI SARANAN FOMCA

Mohd Yusof menekankan satu lagi faktor yang mempengaruhi harga barang ialah bahan mentah import yang tidak boleh dikawal harganya.

"Misalnya pada awal tahun ini berlaku krisis makanan yang melibatkan bahan makanan utama seperti beras, jagung, gandum dan sebagainya. Oleh itu, sektor pengeluaran makanan tempatan perlu dipergiat agar kadar kecukupannya dapat menampung keperluan tempatan," katanya.

Kerajaan juga, katanya, perlu mewujudkan rangkaian runcitan melalui peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di seluruh negara seperti rangkaian yang pernah wujud sebelum ini iaitu Pernas Edar atau Bernas Mart.

Menurut beliau, harga barang di rangkaian runcitan perlu berada paras yang berpatutan dan harga di rangkaian runcitan akan menjadi penanda aras harga barang.

Pengguna, katanya, dapat membuat perbandingan harga di rangkaian runcitan dengan kedai lain dan jika harga di kedai lain itu tinggi, maka pengguna tidak memberi barang di kedai itu.

"Sebelum ini, kerajaan pernah mewujudkan anugerah kedai harga patut. Anugerah ini boleh dihidupkan semula dengan membuat kriteria tertentu bagi memastikan harga barang adalah berpatutan.

"Pemantauan perlu dibuat secara berkala agar kedai yang diberikan anugerah ini tidak menyeleweng. Peranan ini boleh dilaksanakan oleh kumpulan pemantau harga yang ada. Pengguna juga digalakkan agar membeli di kedai yang mempunyai pelekat Kedai Harga Patut," katanya.

GUNA KUASA

Seperti Mohamed Elias, Mohd Yusof turut menyarankan supaya pengguna mengambil perhatian terhadap makluman penurunan harga barang agar mereka dapat membuat perbandingan harga.

Beliau menekankan bahawa jika ada peruncit yang menjual melebihi harga yang ditetapkan, pengguna perlu menggunakan kuasa pengguna mereka, untuk tidak membeli di kedai itu.

Tindakan demikian, katanya, akan memberi tekanan kepada peruncit agar menurunkan harga barang mereka jika ingin pengguna membelinya.

Dengan erti kata lain, di sebalik langkah yang diambil kerajaan termasuk kempen penurunan harga, pengguna masih perlu bersikap bijak dengan menggunakan kuasa sebagai pembeli di samping berbelanja mengikut kemampuan mereka.

Tangguhlah pembelian sekiranya barang yang hendak dibeli terlalu tinggi harganya atau bertukar kepada barang yang lain. Elakkan membuat pembelian yang terburu-buru atau mengikut nafsu.

Masyarakat pengguna yang bijak sudah tentu akhirnya akan dapat 'menjinakkan' peniaga atau mana-mana pihak yang membuat kenaikan harga melampau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment