Thursday, December 25, 2008

Fenomena Kenaikan Harga Minyak Mentah Dunia

Fenomena Kenaikan Harga Minyak Mentah Dunia(15 JUN 2008)

Ketika artikel ini ditulis, harga minyak mentah dunia menurut pasaran masa hadapan barangan komoditi, New York Mercantile Exchange (NYMEX), telah mencecah 132 Dollar AS setong. Kenaikan ini memaksa beberapa negara seperti India, Indonesia, serta Malaysia terpaksa menaikkan harga barang bakar tersebut di pasaran, dengan mengurangkan subsidi yang dahulunya digunakan untuk mengawal harganya untuk kegunaan masyarakat awam. Keadaan ini nyata amat sukar serta terlalu pahit ditelan, memandangkan dunia masih belum pulih daripada krisis bekalan makanan yang turut melanda semenjak kebelakangan ini. Justeru, bukanlah suatu perkara menghairankan jika fenomena kenaikan harga minyak ini turut mendorong kebimbangan di kalangan rakyat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat serta negara-negara Eropah, yang rata-ratanya tidak mengenakan subsidi ke atas bahan bakar tersebut. Kenaikan harga minyak ini bakal meninggalkan beberapa kesan yang sangat mendalam di dalam pelbagai sektor. Kesan paling ketara dapat dilihat dalam sektor pengangkutan yang merupakan sektor yang banyak mempengaruhi perkembangan serta keadaan dalam sektor-sektor lain. Ini memandangkan sektor terbabit memainkan peranan yang sangat penting dalam perjalanan serta perkembangan ekonomi global, kerana ia merupakan penggerak utama di sebalik proses perdagangan antarabangsa. Kenaikan harga minyak akan memaksa para penggerak dalam sektor ini terpaksa menanggung kos perniagaan yang tinggi, sekaligus memaksa penggerak-penggerak terbabit menaikkan kos perkhidmatan yang dikenakan untuk menampung kos yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak. Ini memaksa para pengusaha serta pengilang membayar kos pengangkutan yang jauh lebih mahal, yang sekaligus mendorong kenaikan harga produk-produk ataupun barangan yang dikeluarkan, yang memaksa para pembeli mahupun pengguna terpaksa membayar harga yang lebih untuk mendapatkan produk yang ditawarkan. Sekaligus, keadaan ini mengurangkan kuasa beli di kalangan pengguna di peringkat domestik yang sekaligus mengakibatkan berlakunya inflasi, yang boleh mengancam kestabilan ekonomi di sesebuah negara. Bahkan majalah Newsweek keluaran 9 Jun 2008 meramalkan bahawa fenomena kenaikan harga minyak ini akan membataskan aktiviti perdagangan di peringkat domestik serta peringkat serantau semata-mata. Dalam erti kata lain, fenomena kenaikan harga minyak ini adalah ancaman kepada proses perdagangan bebas yang dianggap sebagai tunjang utama kepada ekonomi dunia sebelum ini.MENGAPA? Ada beberapa faktor yang dikatakan menjadi pencetus utama kepada kenaikan harga minyak dunia semenjak kebelakangan ini. Antara faktor tersebut membabitkan kegagalan mekanisme pasaran minyak dunia untuk memenuhi permintaan ke atas komoditi bakar itu yang semakin meningkat. Secara ringkas, harga minyak mentah di pasaran dunia ditentukan melalui mekanisme yang bertunjangkan konsep permintaan serta penawaran, di antara pengeluar serta pengguna. Menerusi sistem ini, harga komoditi ini akan menjadi murah jika jumlah penawaran oleh pengeluar melebihi jumlah permintaan di kalangan pengguna. Akan tetapi, keadaan menjadi sebaliknya jika terdapat lebihan dari segi permintaan jika dibandingkan dengan jumlah pengeluaran. Jika kenyataan di atas dijadikan rujukan, maka ini akan mampu menjelaskan fenomena kenaikan harga minyak mentah yang akan terus mencengkam kehidupan setiap lapisan masyarakat di segenap pelusuk dunia. Kenyataan ini diperkuat dengan analisa yang dilakukan oleh akhbar New York Times pada Disember lalu, yang meramalkan bahawa negaranegara pengeluar minyak utama dunia seperti Arab Saudi, Iran, Emiriah Arab Bersatu, serta Russia, akan mengurangkan eksport minyaknya untuk menjamin kelangsungan bekalan di peringkat domestik. Menurut jangkaan yang dikeluarkan oleh Badan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), keadaan ini dijangka berterusan berdasarkan kepada jangkaan akan meningkatnya permintaan di kalangan negara-negara pengguna minyak dunia seperti India dan China. Akan tetapi, di Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah, kenaikan mendadak bahan bakar ini dianggap turut didorong oleh tindakan spekulator-spekulator kewangan antarabangsa yang ingin mendapat keuntungan dalam sekelip mata. Menurut spekulator kewangan terkemuka dunia, George Soros, spekulasi membabitkan harga minyak berlaku akibat daripada meningkatnya jumlah pelaburan yang dibuat oleh para spekulator ke atas pasaran masa hadapan minyak. Akibatnya, ini secara langsung dikatakan telah meningkatkan harga komoditi tersebut di pasaran dunia. Akan tetapi, Soros juga meramalkan fenomena akhirnya dijangka akan mengakibatkan kejatuhan mendadak harga pasaran komoditi tersebut, yang sekaligus mampu melumpuhkan system pasaran minyak sedunia. Andaian itu dibuat berdasarkan kepada jangkaan sekiranya spekulator-spekulator terbabit menarik balik pelaburan mereka daripada sektor komoditi itu secara mendadak. Bahkan Soros juga berpendapat bahawa kenaikan harga minyak mentah sedunia ini mampu menjejaskan pertumbuhan kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat. Berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat oleh Soros itu, bukanlah satu perkara yang menghairankan jika Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat untuk Perdagangan, Sains dan Pengangkutan, mengundang Soros untuk memberi penerangan mengenai fenomena ini. Bahkan di Jerman sebagai contohnya, terdapat desakan di kalangan ahli politik tempatan agar inisiatif secara agresif diambil untuk menghalang tindakan spekulasi yang keterlaluan ke atas harga komoditi tersebut. Ini memandangkan fenomena tersebut mampu meninggalkan kesan yang ketara kepada setiap lapisan masyarakat dalam pelbagai bentuk berbeza. Keadaan ini diburukkan dengan krisis bekalan makanan sedunia yang masih belum menampakkan sebarang tanda akan selesai . Berdasarkan kepada keadaan semasa harga pasaran minyak mentah global, bukanlah suatu perkara menghairankan. jika krisis ini akan berlarutan serta akan menjadi bertambah buruk. Justeru, bukanlah satu perkara yang menghairankan jika kesan kenaikan harga minyak sedunia dinanti dengan penuh debar serta tanpa kepastian yang nyata.

Disediakan oleh : Mohd Firdaus Md. Hamsin, Sekretariat Antarabangsa ABIM
Sumber: Newsweek (Jun 2008), Laman web rasmi Al-Jazeera, akhbar Seattle Times, akhbar New York Times, Badan
Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), dan akhbar Telegraph.
Minda Madani Online

No comments:

Post a Comment